Tuesday, 10 February 2015

3.6 Persamaan Kimia

Persamaan kimia
■ Persamaan kimia menunjukkan:

► Bahan tindak balas yang digunakan dalam tindak balas ditulis di sebelah kiri persamaan.

► Hasil tindak balas diperolehi daripada tindak balas ditulis di sebelah kanan persamaan.

► Bilangan mol bagi bahan tindak balas dan hasil tindak balas.

► Keadaan fizikal bahan:
◉ Pepejal (p)
◉ Cecair (ce)
◉ Gas (g)
◉ Akueus (ak)

► Secara umum:
Bahan tindak balas → Hasil tindak balas

► Contoh persamaan kimia:
Persamaan kimia dalam perkataan Persamaan kimia
Natrium hidroksida + asid sulfurik → natrium sulfat + air 2NaOH(ak) + H2SO4(ak) → Na2SO4(ak) + 2H2O(ce)
kuprum(II) karbonat →pemanasan kuprum(II) oksida + karbon dioksida CuCO3(p) →ΔCuO (p) + CO2(g)

■ Langkah-langkah berikut terlibat apabila menulis persamaan kimia:

► Tuliskan formula kimia bagi bahan tindak balas di sebelah kiri dan hasil di sebelah kanan tanda anak panah.

► Imbangkan persamaan dengan memastikan bahawa bilangan atom setiap unsur adalah sama di kedua-dua belah persamaan.
○ Bilangan atom setiap unsur sebelum dan selepas tindak balas adalah sama.
○ Laraskan pekali di hadapan formula kimia dan bukannya subskrip dalam formula.

► Tulis keadaan fizikal setiap bahan.
■ Video berikut memberi penjelasan bagi cara  mengimbangkan persamaan kimia.


Pentafsiran persamaan kimia secara kualitatif dan kuantitatif
■ Persamaan stoikiometri:

► Hubungan antara nisbah bilangan mol bahan tindak balas kepada bilangan mol hasil tindak balas.
■ Mentafsirkan persamaan kimia

► Bahan tindak balas yang mengambil bahagian dalam tindak balas.

► Hasil yang terbentuk dalam tindak balas.

► Bilangan mol setiap bahan yang mengambil bahagian dalam tindak balas dan bilangan mol hasil terbentuk.

► Keadaan fizikal semua bahan dan hasil tindak balas.

► Contoh:
Persamaan kimia Bahan tindak balas Hasil tindak balas
2Na(p) + 2H2O(ce) → 2NaOH(ak) + H2(g) 2 mol natrium natrium bertindak balas dengan 2 mol air 2 mol natrium hidroksida dan 1 mol gas hidrogen
N2(g) + 3H2(g) → 2NH3(g) 1 mol gas nitrogen bertindak balas dengan 3 mol gas hidrogen 2 mol gas ammonia

■ Video berikut memberi penjelasan mengenai cara penyelesaian persamaan stoikiometri:


Masalah-masalah yang melibatkan persamaan kimia
✍ Contoh latihan 3.6(a)
Dalam tindak balas antara natrium dan klorin seperti yang diberikan di persamaan berikut, 2.3 g natrium dibakar pada suhu bilik.
2Na(p) + Cl2(g) → 2NaCl(p)
(Isipadu molar pada suhu bilik = 24dm3, Na = 23, Cl = 35.5)
Hitungkan:
(a) Kuantiti jisim natrium klorida yang terhasil.

Bilangan mol natrium = (jisim natrium / jisim atom relatif)
Bilangan mol natrium = (2.3 / 23)
Bilangan mol natrium = 0.1 mol
Menurut persamaan kimia, 2 mol natrium bertindak menghasilkan 2 mol natrium klorida.
Maka, 0.1 mol natrium bertindak menghasilkan 0.1 mol natrium klorida.
Jisim natrium klorida yang terhasil:
= bilangan mol natrium klorida × jisim atom relatif
= 0.1 × (23 + 35.3)
= 0.1 × 58.5
= 5.85g
(b) Isipadu gas klorin yang digunakan bagi keadaan bilik dalam eksperimen ini.

Menurut persamaan kimia, 2 mol natrium bertindak menghasilkan 1 mol gas klorin.
Maka, 0.1 mol natrium bertindak menghasilkan 0.05 mol gas klorin.
Isipadu gas klorin
= bilangan mol klorin × isipadu molar
= 0.05 × 24
= 1.2dm3

✍ Contoh latihan 3.6(b)
40g besi (III) oksida diturunkan dengan serbuk karbon untuk membentuk besi dan karbon dioksida.
(Jisim atom relatif: O = 56, Fe = 56)
(a) Tuliskan persamaan kimia yang seimbang bagi tindak balas yang terlibat

2Fe2O3(p) + 3C(p) → 4Fe(p) + 3CO2(g)
(b) Hitungkan jisim maksimum besi terbentuk.

Bilangan mol besi (III) oksida = (jisim besi (III) oksida / jisim atom relatif)
Bilangan mol besi (III) oksida = 40 / [(56 × 2) + (16 × 3)]
Bilangan mol besi (III) oksida = 40 / 160
= 0.25mol
Menurut persamaan kimia, 2 mol besi(III) oksida bertindak menghasilkan 4 mol besi.
Maka, 0.25 mol besi(III) oksida bertindak menghasilkan 0.5 mol besi.
Jisim besi yang terhasil
= bilangan mol besi × jisim atom relatif
= 0.5 × 56
= 28g


⇲ Dapatkan latihan (objektif and subjektif), secara percuma untuk OS Android.

No comments:

Post a Comment