Thursday 3 September 2015

3.1 Keseimbangan Alam

Keseimbangan Alam
■ Keseimbangan alam adalah suatu keadaan di mana semua proses yang berlaku secara semula jadi dalam keseimbangan antara satu sama lain.
■ Hubungan makanan antara organisma hidup seperti tumbuhan dan haiwan boleh ditunjukkan melalui rantai makanan atau siratan makanan dalam suatu ekosistem.
■ Terdapat beberapa kitar semula jadi yang memainkan peranan penting untuk mengekalkan keseimbangan alam, seperti:

Kitar nitrogen

Kitar air

Kitar Karbon

Kitar Nitrogen
■ Kandungan nitrogen dalam alam semula jadi dapat dikekalkan melalui kitaran nitrogen. Kitar nitrogen telah dibincangkan dalam bab 2 (bahagian 2.3).
■ Nitrogen di atmosfera ditukarkan kepada ion nitrat yang boleh digunakan oleh organisma hidup.
■ Bakteria pengikat nitrogen dan kilat, menetapkan nitrogen di atmosfera manakala pendenitritan bakteria, mengembalikan nitrogen ke dalam atmosfera.

Kitar air
■ Kitar air melibatkan proses pengaliran air di antara permukaan Bumi, laut dan atmosfera.
■ Proses kitaran air

Transpirasi berlaku apabila kuantiti air yang banyak diserap oleh pokok-pokok dalam hujan tropika melalui akar dan akan dihilangkan ke atmosfera dalam bentuk wap air.

Penyejatan air berlaku apabila takungan air ini dipanaskan oleh cahaya matahari. Wap air dibebaskan ke atmosfera.

Apabila wap air disejat dan naik ke atmosfera, wap air yang panas ini akan disejukkan dan terkondensasi menjadi titisan air yang membentuk awan.

Titisan air dalam awan akan turun semula ke permukaan Bumi sebagai hujan, salji atau hujan baru.

Semasa hujan turun ke Bumi, sebahagian air hujan meresap ke dalam tanah dan berkumpul menjadi takungan air di bawah tanah yang berupaya diserap oleh pokok melalui akar.

Air hujan juga mengalir ke dalam sungai, tasik dan laut. Penejatan air berlaku pada permukaan Bumi dan kitar air akan berulang.
■ Video ini akan menerangkan dengan lebih lanjut mengenai kitaran air.


Kitar Karbon
■ Kitaran karbon mengekalkan kandungan karbon dioksida di atmosfera. Unsur karbon di atmosfera dikeluarkan, dipindahkan melalui organisma dan akhirnya kembali ke atmosfera.

Tumbuhan hijau menggunakan gas karbon dioksida di udara untuk bertindak balas dengan air bagi menghasilkan karbohidrat (sebatian karbon) melalui fotosintesis.

Haiwan mendapat sebatian karbon melalui rantai makanan.

Semua haiwan dan tumbuhan menjalankan respirasi di mana glukosa dioksidakan untuk menghasilkan tenaga.
■ Rajah dibawah menunjukkan kitaran karbon.

Kandungan karbon dioksida di atmosfera bertambah apabila penguraian bangkai tumbuhan, bangkai haiwan dan bahan perkumuhan dijalankan oleh bakteria dan kulat pengurai.

Bahan kimia seperti petroleum, arang batu, kayu dan gas asli juga mengandungi karbon. Bahan api fosil terbentuk daripada tumbuhan mati dan bangkai haiwan yang telah tertimbus dalam tanah di antara lapisan-lapisan batu tidak telap selama berjuta-juta tahun dahulu.

Organisma reput tersebut akan mengalami suhu dan tekanan yang tinggi untuk satu jangka masa yang panjang dan bertukar menjadi bahan api fosil.

Tiga bahan api fosil utama ialah arang batu, petroleum dan gas asli. Bahan api fosil menghasilkan karbon dioksida, air dan tenaga yang banyak semasa pembakaran.
■ Video ini akan menerangkan dengan lebih lanjut mengenai kitaran karbon.

Peranan Siratan Makanan dalam Memelihara dan Memulihara Keseimbangan Alam
■ Tenaga dipindahkan dari satu organisma ke organisma yang lain melalui rantai makanan.
■ Beberapa rantai makanan boleh digabungkan untuk membentuk satu siratan makanan.

Dalam siratan makanan, organisma berinteraksi dengan satu sama lain untuk mendapatkan makanan dan aliran tenaga berlaku dari pengeluar kepada pengguna.

Tumbuh-tumbuhan hijau (pengeluar) menyerap tenaga solar untuk membuat makanan.

Pengguna yang memakan pengeluar, dan pengguna yang makan pengguna lain membenarkan tenaga mengalir melalui siratan makanan.

Apabila pengeluar atau pengguna mati, pengurai seperti bakteria dan kulat akan mengurai bahan-bahan yang kompleks menjadi bahan-bahan mudah yang boleh digunakan semula oleh tumbuh-tumbuhan hijau membuat makanan. Aliran tenaga bermula sekali lagi.
■ Rajah dibawah menunjukkan satu siratan makanan dengan aliran tenaga.

Kesan Bencana Alam terhadap Keseimbangan Alam
■ Bencana alam adalah satu fenomena semula jadi yang membawa kemusnahan kepada alam sekitar. Contoh bencana alam termasuk:

Kemarau

Gempa bumi

Banjir

Siklon

Letupan gunung berapi

Kebakaran hutan
■ Selepas suatu bencana alam berlaku, keseimbangan alam akan terganggu. Bencana alam boleh membunuh organisma hidup, menukar keadaan fizikal Bumi dan mengancam kitaran alam semula jadi.
■ Apabila ekosistem musnah atau rosak akibat bencana alam, ia beransur-ansur akan berkembang untuk mencapai keadaan seimbang. Ekosistem yang baru dibina.
■ Secara tidak langsung, bencana alam membantu mengawal bilangan organisma atau penduduk dalam sesuatu ekosistem.



⇲ Dapatkan latihan (objektif and subjektif), secara percuma untuk OS Android.

No comments:

Post a Comment